Pages

Sunday 18 November 2012

kenangan pahit yang manis


                                               

                                             
Flashback

6.30 a.m
20/10/2012

‘’Dik, bangun ke tepi’’,‘’macamana boleh jatuh?’’ Kedengaran suara menerpa. Aku tersedar daripada pitam. Fikiranku bercelaru saat itu. Aku bingung, cuba memikirkan bagaimana aku boleh tersungkur di bahu jalan. Kelihatan dua orang lelaki berumur lingkungan 30 –an berusaha membantuku. Suara itu datangnya dari mereka berdua. Ada kayu kat sini, mesti kau langgar kayu ni?’’ Kata salah seorang daripada mereka sambil mengalihkan kayu itu ke tepi jalan. Ya, itulah yang menyebabkan aku kemalangan. Serta-merta aku dapat mengingat kembali detik-detik sebelum kemalangan itu. Kayu yang entah dari mana datangnya itu tidak berada di tempat sepatutnya ia berada. Ia cukup besar untuk menjatuhkan sesiapa sahaja yang melanggarnya. Ironinya, akulah mangsanya. Keadaan ketika itu gelap tanpa lampu jalan, aku tak sempat mengelak dari melanggarnya. Ia berlaku sekelip mata. Bahu dan tangan aku berasa sakit dan tidak boleh diangkat. Aku dapat merasakan kecederaan yang serius berlaku di bahagian itu.


Hospital

Aku meminta supaya dihantar ke rumah. Motorku yang pancit dan terdapat sedikit kerosakan akibat pelanggaran terpaksa ditinggalkan di situ. Sampai saja di rumah aku maklumkan pada keluarga dan kami bergegas ke hospital yang terdekat, Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Dalam perjalanan aku berasa loya dan muntah beberapa kali kesan daripada kemalangan itu. Mujurlah di hospital tidak ramai pesakit. Aku tidak menunggu terlalu lama. Maklumlah hospital kerajaan tentu banyak kerenahnya. Aku diperiksa oleh seorang doktor india, kemudian ke bilik x-ray dan bilik yang aku tidak ingat namanya tetapi di situ luka-luka di cuci dan jahitan luka juga di buat di sana.


Hospital utama di Klang


Aku ditahan di wad sementara (temporary ward) kerana mengalami gejala muntah dan pening kepala. Wad ini digunakan untuk doktor memerhati keadaan pesakit sekiranya gejala berterusan. Seseorang pesakit hanya akan berada di wad ini tidak lebih dari 6 jam dan akan dipindahkan ke wad lain jika didapati keadannya tidak beransur pulih tetapi sekiranya keadaannya bertambah baik dia akan dibenarkan pulang.

6 jam di situ aku langsung tidak tidur. Hanya duduk di atas katil yang boleh ditegakkan itu. Wajahku sugul. Fikiranku menerawang memikirkan kemalangan itu. Aku bermuhasabah. Apakah kerana dosa aku jadi begini, atau ujian daripada Allah untukku? Aku tunduk penuh penyesalan, Sambil memohon ampun pada Allah, air mata membasahi pipi. Pelbagai persoalan bermain di benakku. Bagaimanakah keadaan aku..apakah harapan untuk sembuh seperti sediakala ada??

Sepanjang tempoh itu juga aku muntah beberapa kali. Aku diawasi oleh seorang jururawat wanita dan malang sekali dia agak garang. Beberapa orang doktor berbincang mengenai keadaan aku sambil melihat keputusan x-ray  dan aku rasa mereka adalah doktor housemanship (lebih kurang mcm dr. praktikal). Mereka merujuk kepada seorang doktor senior tetapi masih tidak dapat kesimpulan yang konkrit. Akhirnya aku dirujuk kepada doktor ortopedik (pakar tulang) berbangsa cina yang cukup baik. Beliau mengesahkan kecederaanku, aku menerima berita yang menyedihkan.

Tempoh 6 jam itu cukup lama dan membosankan. Disebelah ku seorang brader berbangsa india yang juga mengalami kemalangan dan cukup sadis keadaannya. Matanya bengkak, kepalanya berjahit juga disana terdapat seorang atuk dan nenek yang sedang menunggu giliran pembedahan sambil ditemani ahli keluarganya. Keadannya cukup uzur. Lebih teruk dari itu ada yang hancur tulangnya akibat kemalangan! Sepanjang tempoh itu juga terdengar jururawat yang merungut kerana tidak puas hati dengan sikap sebahagian pelawat yang tidak patuh arahan hospital, juga perbualan antara doktor tentang pesakit , dan tidak kurang juga aksi ‘kontroversi’ daripada seorang doktor yang melakukan tarian kuda (op op oppa gangnam style!!). Sah lah beliau doktor housemanship. Aku tersenyum sinis.


bayangan aksi doktor gangnam


Dua jam yang terakhir, muntah ku masih belum reda. Doktor mengesyaki aku mengalami gegaran otak. Aku mula bimbang akan keadaan itu. Lebih dari itu, ditahan di wad yang membosankan lebih membimbangkan. Akhirnya, dengan sedikit ‘trick’ aku dibenarkan pulang ke rumah. Sambil berdoa tiada ‘wayar’ yang putus dalam otak ku. Di rumah gejala muntah berlarutan pada dua hari yang pertama. Selepas itu alhamdulillah tiada.


Duka dan sengsara

Sahabat, itu adalah permulaan episod duka ku. Kepulangan ke rumah ‘disambut’ dengan sebuah kemalangan. Ia hanyalah secebis pengalaman yang telah mengajarku erti sabar dan redha. Di sebaliknya tersingkap pelbagai hikmah jika dinilai dengan mata hati. Derita dan sengsara tidak diminta. Ia datang tanpa diduga memukul kita daripada segenap ruang. Jika tidak pada fizikal, ia datang mengganggu emosi. Insan yang kelihatan sihat dan sempurna fizikal kadangkala sengsara jiwanya, demikian insan yang kelihatan sakit fizikalnya tetapi tenang jiwanya. Ia boleh menerjah sesiapa sahaja tanpa dijemput. Kita tidak mahu derita dan sengsara, malah kita diajar untuk berlindung daripadanya seperti doa yang Nabi saw nyatakan :

''Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu dari kegelisahan dan kesedihan, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat bakhil dan penakut dan dari ditimpa beban hutang yang sukar untuk dilangsaikan serta dari kejahatan lelaki yang menzalimi''.

(riwayat al-Bukhari)


mencari nikmat dalam derita


Namun begitu, jika ia tetap datang, kita menerimanya dengan redha. Alangkah hebatnya hikmah di sebalik penderitaan kerana duka dan deritalah yang banyak mengembalikan insan kepada Tuhannya, menjadikan jiwanya halus, taubatnya tulus, doanya khusyuk. Insan kadang-kadang tidak dapat ditundukkan keegoannya, tidak boleh menerima nasihat  rakan-rakannya, namun apabila duka dan derita menerpa akhirnya dia tunduk kepada Tuhannya sehingga kita pun pelik dia yang dahulunya jahat kini lebih baik dari kita.


Allah Maha Pengampun

Sahabatku, urusan dunia yang banyak ini sering melalaikan kita daripada Allah. Sepanjang hidup kita, tentu banyak kesalahan dan kesilapan kita pada Allah atau sesama manusia, itulah kita, manusia. Kata Nabi saw:

‘’Semua anak Adam itu melakukan kesalahan dan sebaik-baik pelaku kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat’’

(Riwayat Ahmad,al-Tirmizi dan ibn Majah/ dihasankan oleh al-Albani)

Jika diberi peluang tentu kita ingin kembali ke masa lalu untuk membetulkan kesilapan kita. Namun ketetapan Allah tidak begitu. Kita tidak mungkin kembali ke masa lalu. Kita juga tidak dapat memastikan esok hari apakah ia masih ada untuk kita. Yang kita ada hanyalah SEKARANG. SEKARANG lah masa untuk beramal soleh, SEKARANG lah masa untuk berbakti pada ibu ayah dan SEKARANG lah masa untuk bertaubat memohon ampun pada Allah dengan jantung hati yang ikhlas dan tunduk. Bahkan jika taubat dan istighfar dengan jujur, luhur dan khusyuk kepada Allah, ia akan menjadi penawar dan kebahagiaan hidup. Firman Allah:

‘’Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepada-Nya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)''

(Surah Hud : 3)

Sahabatku, ada antara kita yang merasakan diri terlalu hina sehingga menganggap dosanya seolah-olah tidak diampunkan. Sebenarnya, Allah tidak suruh kita mendedahkan dosa dan aib kita pada orang lain. Tidak perlu bercerita dan mengadu dosa pada rakan-rakan lain. Akan tetapi jika ingin meminta nasihat maka itu sangat digalakkan. Allah suruh kita beristighfar dan memohon ampun kepada Nya. Walaupun kita pergi kepada kawan-kawan lalu dia kata pada kita,, ‘’kau jahat, samseng, kaki dosa, kaki perempuan, bunuh orang, kaki judi, tak mungkin dosa kau terampun!’’ Namun Allah tidak begitu. Firman Allah :

‘’Katakanlah : Wahai hamba-hamba yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani’’.

(Surah al-Zumar : 53)





Jangan berputus asa, dosa-dosa yang besar seperti itu pun diampunkan apatah lagi insan yang melakukan dosa kecil. Pasti diampunkan asalkan kamu betul-betul ikhlas dan tidak berniat untuk bermain-main.


Muhasabah

Sahabat, aku yang daif dan hina ini mencoretkan sedikit pengalaman ini bukan untuk menagih simpati. Akan tetapi, ambillah manfaat dari sedikit pengalaman aku. Aku juga tidak berniat berkongsi episod derita dalam hidupku. Kita tidak sempurna. Aku ingin mengajak kita bermuhasabah, betulkan apa yang silap, memohon ampun pada AllAH Azza Wajalla sebelum kita ‘ditegur’ oleh Allah. Yang belum menutup aurat, tutuplah, yang tidak solat, solatlah, yang selalu menyakitkan hati kawan, ubahlah, yang sombong, tunduklah. Jangan tunggu jatuh tersungkur baru hendak kembali insaf pada Allah. Jangan buat sesuatu hari ini yang menyebabkan kita menyesal kemudian hari.

Sebulan selepas kemalangan aku pergi kembali ke tempat kejadian. Niatnya ingin mengambil kayu ‘bertuah’ itu. Sayangnya sudah tiada. Mungkin sudah diambil orang atau dibuang. Aku mengusap-usap helmet yang telah menyelamatkan muka ku. Ada kesan-kesan calar dan sedikit rosak. Mujurlah ketika itu kau ada di kepala ku. Lebih dari itu Allah yang telah mengilhamkan ku untuk memakai kau wahai helmet. Kemalangan ini menyebabkan dua tulangku patah, terima beberapa jahitan di kaki selain luka-luka kecil dan kini masih dalam proses penyembuhan. Terima kasih kepada semua doktor dan akak jururawat yang sedikit garang yang telah merawatku. Namun aku bersyukur masih diberi peluang untuk terus hidup, Aku teringat sebuah hadis Nabi saw :

Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang dan derita sehingga sebatang duri menikamnya kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosanya

(riwayat al-Bukhari)







**Tulisan dan Dalil, hadis diinspirasikan daripada buku Penawar Duka Pengubat Sengsara karangan Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan diolah semula. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah syuhada’.

Sekian,

12.44 a.m
19/11/2012


3 comments:

  1. Nice blog :)
    salam kenal sobat :)
    bagi - bagi motivasi
    semoga bisa jadi semangat
    Senyuman adalah sedekah yang indah, karena dengan sedekah senyuman, manusia takkan pernah merasa berhutang apa-apa dan tak kan membuat orang lain merasa terhina
    ditunggu kunjungan baliknya yaa :) terima kasih ....

    ReplyDelete