Pages

Friday 22 February 2013

Seminar Baitul Muslim 2.0 (part1)


(Sebelum Aku Bernikah)


Persoalan jodoh selalu bermain di minda kita lebih-lebih lagi si teruna dan dara yang masih tercari-cari pasangan. Ada yang memasang impian berkahwin awal, ada yang mahu stabilkan ekonomi dahulu, dan ada juga yang buat tak kisah. Secara peribadi saya merasakan persoalan jodoh ini sangat penting kerana daripada rumah tangga akan lahirlah anak-anak yang jika dididik dengan betul akan menjadi aset kepada kita dunia dan akhirat.

Lihatlah hari ini betapa ramai ibu bapa yang culas dalam memberikan pendidikan islam kepada anak-anak sehingga mereka tidak dapat merasai keindahan dan betapa agama ini begitu bersifat rahmat pada kepada semua.

Persoalannya, bagaimanakah cara untuk mencari kekasih halal menurut garis panduan islam? Seminar Baitul Islam yang diadakan selama 2 hari ini mengupas topik berkenaan mencari jodoh dan melayari rumahtangga mengikut garis panduan islam. Saya akan berkongsi point-point dan perkataan para penceramah. Mungkin ada yang berbeza tetapi tidak mengubah maksud asal mereka. Terdapat juga sedikit penambahan daripada saya untuk memudahkan penyampaian.


Slot 1: CARI JODOH, LANGKAH 1,2,3...
Penceramah: USTAZ PAHROL JUOI

Ahlissunnah Wal Jamaah beriktikad bahawa jodoh setiap orang sudah ditentukan akan tetapi kita masih perlu berusaha mencarinya. Konsep ini juga sama seperti rezeki yang sudah ditentukan, tidak bermaksud ia akan selalu datang dengan sendirinya tetapi setiap individu mestilah berusaha untuk mendapatkannya. Selepas berusaha wajib kita bertawakkal sepenuhnya kepada Allah.

Prinsip dalam pencarian jodoh
Prinsip mencari jodoh ialah cari yang beragama, tetapi bagaimanakah kaedahnya? Disini digariskan 3 kaedah yang bertepatan dengan syariat.

Kaedah 1: Jadikan diri baik dan soleh / solehah
Sebelum kita mencari yang baik, soleh, solehah hendaklah diri sendiri mendahului. Ertinya berusahalah menjadi baik, mudah-mudahan akan mendapat pasangan yang baik juga. Kita perlu sentiasa memperbaiki diri dan berusaha kearah kebaikan. Apalah maknanya jika dapat pasangan yang cantik sedap mata memandang tetapi selalu menyakitkan hati.

Kaedah 2: Dengar nasihat orang yang baik
Mereka ini boleh terdiri daripada sesiapa sahaja samada ibubapa, rakan, makcik, pakcik atau sesiapa sahaja yang kita yakini kesiqahannya(boleh dipercaya), dan mereka memahami kehendak agama. Boleh meminta pendapat dan nasihat daripada mereka tentang pasangan pilihan kita melalui perbincangan. Kita yakin mereka akan berikan yang terbaik buat kita dan tidak akan menzalimi kita

Kaedah 3: Cari dengan cara yang baik/ ikut cara yang baik
Jika kita berkenan kepada seseorang, janganlah secara semberono pergi kepadanya tetapi gunakanlah orang tengah untuk selidik (approach) si dia. Sebagai contoh ibubapa. Selain istikharah perlu juga bertanya kepada rakan-rakan karibnya yang mungkin lebih masak dengan perangai si dia supaya kita tidak tertipu dengan keayuan dan kesantunannya apabila berhadapan dengan kita. Satu persepsi dalam masyarakat kita ialah tiada istilah ‘perigi mencari timba’. Situasi ini bermaksud jika ada wanita yang menyatakan hasrat kepada lelaki untuk berumah tangga maka ia kelihatan janggal dan pelik.

Sebenarnya islam membenarkan perkara ini seperti mana yang berlaku kepada isteri Nabi saw, Khadijah bt Khuwailid yang berhasrat agar Nabi saw menjadi suaminya melalui risikan pembantunya. Daripada 13 orang isteri Nabi saw 2 orang daripada mereka telah dijadikan isteri apabila mereka menawarkan diri kepada nabi. Satu perkara yang perlu kita ingat, jangan malu jika kita ditolak kerana kita sedang melakukan kebaikan melalui jalan-jalan yang Allah redha, bahkan melakukan kemungkaran itulah perkara yang memalukan.

Mengikut kajian JAKIM setiap 15 minit satu penceraian berlaku di Malaysia. Kebiasaannya, 5 tahun selepas berkahwin barulah pasangan akan menunjukkan perangainya yang sebenar. Ini adalah detik kritikal dalam alam rumahtangga. Maka, Siapa pasangan kita sebelum berkahwin itu penting tetapi siapa dia selepas kahwin itu jauh lebih penting. Buat preparation jika tidak mahu correction. Cinta yang memulakan perkahwinan tetapi tanggungjawablah yang menyempurnakannya. Ketika cinta sakit, tanggungjawablah yang menyebabkan rumahtangga itu bertahan sehingga cinta pulih.





Ustaz Pahrol Juoi



Slot 2: Pengurusan Jiwa
Penceramah: Ustaz Ridhauddin Salleh

Dalam slot ini, Ustaz Ridhauddin menerangkan perbezaan antara lelaki dan perempuan dari sudut psikologi. Amat penting untuk seorang suami memahami psikologi atau nature isterinya supaya dapat mengelakkan situasi yang tegang berlaku. Umpamanya wanita secara naturenya apabila pergi ke pasaraya akan menjadi rambang mata walaupun niat asal hanya hendak membeli satu atau dua barang. Maka disini seorang suami perlu memahami emosi seorang isteri dan begitu juga sebaliknya

Sebahagian lelaki dari sudut naturenya tidak setia akan tetapi islam dengan keindahan dan disiplinnya telah mensetiakan ramai lelaki. Para suami yang memahami kehendak agama tentu tidak sewenang-wenangnya memperlakukan isterinya sedemikian rupa. Kesimpulannya sang suami beri syurga kepada suami dan isteri beri taat kepada suami.



Ustaz Ridhauddin  Salleh
.

No comments:

Post a Comment