Pages

Friday 22 February 2013

Seminar Baitul Muslim 2.0 (part1)


(Sebelum Aku Bernikah)


Persoalan jodoh selalu bermain di minda kita lebih-lebih lagi si teruna dan dara yang masih tercari-cari pasangan. Ada yang memasang impian berkahwin awal, ada yang mahu stabilkan ekonomi dahulu, dan ada juga yang buat tak kisah. Secara peribadi saya merasakan persoalan jodoh ini sangat penting kerana daripada rumah tangga akan lahirlah anak-anak yang jika dididik dengan betul akan menjadi aset kepada kita dunia dan akhirat.

Lihatlah hari ini betapa ramai ibu bapa yang culas dalam memberikan pendidikan islam kepada anak-anak sehingga mereka tidak dapat merasai keindahan dan betapa agama ini begitu bersifat rahmat pada kepada semua.

Persoalannya, bagaimanakah cara untuk mencari kekasih halal menurut garis panduan islam? Seminar Baitul Islam yang diadakan selama 2 hari ini mengupas topik berkenaan mencari jodoh dan melayari rumahtangga mengikut garis panduan islam. Saya akan berkongsi point-point dan perkataan para penceramah. Mungkin ada yang berbeza tetapi tidak mengubah maksud asal mereka. Terdapat juga sedikit penambahan daripada saya untuk memudahkan penyampaian.


Slot 1: CARI JODOH, LANGKAH 1,2,3...
Penceramah: USTAZ PAHROL JUOI

Ahlissunnah Wal Jamaah beriktikad bahawa jodoh setiap orang sudah ditentukan akan tetapi kita masih perlu berusaha mencarinya. Konsep ini juga sama seperti rezeki yang sudah ditentukan, tidak bermaksud ia akan selalu datang dengan sendirinya tetapi setiap individu mestilah berusaha untuk mendapatkannya. Selepas berusaha wajib kita bertawakkal sepenuhnya kepada Allah.

Prinsip dalam pencarian jodoh
Prinsip mencari jodoh ialah cari yang beragama, tetapi bagaimanakah kaedahnya? Disini digariskan 3 kaedah yang bertepatan dengan syariat.

Kaedah 1: Jadikan diri baik dan soleh / solehah
Sebelum kita mencari yang baik, soleh, solehah hendaklah diri sendiri mendahului. Ertinya berusahalah menjadi baik, mudah-mudahan akan mendapat pasangan yang baik juga. Kita perlu sentiasa memperbaiki diri dan berusaha kearah kebaikan. Apalah maknanya jika dapat pasangan yang cantik sedap mata memandang tetapi selalu menyakitkan hati.

Kaedah 2: Dengar nasihat orang yang baik
Mereka ini boleh terdiri daripada sesiapa sahaja samada ibubapa, rakan, makcik, pakcik atau sesiapa sahaja yang kita yakini kesiqahannya(boleh dipercaya), dan mereka memahami kehendak agama. Boleh meminta pendapat dan nasihat daripada mereka tentang pasangan pilihan kita melalui perbincangan. Kita yakin mereka akan berikan yang terbaik buat kita dan tidak akan menzalimi kita

Kaedah 3: Cari dengan cara yang baik/ ikut cara yang baik
Jika kita berkenan kepada seseorang, janganlah secara semberono pergi kepadanya tetapi gunakanlah orang tengah untuk selidik (approach) si dia. Sebagai contoh ibubapa. Selain istikharah perlu juga bertanya kepada rakan-rakan karibnya yang mungkin lebih masak dengan perangai si dia supaya kita tidak tertipu dengan keayuan dan kesantunannya apabila berhadapan dengan kita. Satu persepsi dalam masyarakat kita ialah tiada istilah ‘perigi mencari timba’. Situasi ini bermaksud jika ada wanita yang menyatakan hasrat kepada lelaki untuk berumah tangga maka ia kelihatan janggal dan pelik.

Sebenarnya islam membenarkan perkara ini seperti mana yang berlaku kepada isteri Nabi saw, Khadijah bt Khuwailid yang berhasrat agar Nabi saw menjadi suaminya melalui risikan pembantunya. Daripada 13 orang isteri Nabi saw 2 orang daripada mereka telah dijadikan isteri apabila mereka menawarkan diri kepada nabi. Satu perkara yang perlu kita ingat, jangan malu jika kita ditolak kerana kita sedang melakukan kebaikan melalui jalan-jalan yang Allah redha, bahkan melakukan kemungkaran itulah perkara yang memalukan.

Mengikut kajian JAKIM setiap 15 minit satu penceraian berlaku di Malaysia. Kebiasaannya, 5 tahun selepas berkahwin barulah pasangan akan menunjukkan perangainya yang sebenar. Ini adalah detik kritikal dalam alam rumahtangga. Maka, Siapa pasangan kita sebelum berkahwin itu penting tetapi siapa dia selepas kahwin itu jauh lebih penting. Buat preparation jika tidak mahu correction. Cinta yang memulakan perkahwinan tetapi tanggungjawablah yang menyempurnakannya. Ketika cinta sakit, tanggungjawablah yang menyebabkan rumahtangga itu bertahan sehingga cinta pulih.





Ustaz Pahrol Juoi



Slot 2: Pengurusan Jiwa
Penceramah: Ustaz Ridhauddin Salleh

Dalam slot ini, Ustaz Ridhauddin menerangkan perbezaan antara lelaki dan perempuan dari sudut psikologi. Amat penting untuk seorang suami memahami psikologi atau nature isterinya supaya dapat mengelakkan situasi yang tegang berlaku. Umpamanya wanita secara naturenya apabila pergi ke pasaraya akan menjadi rambang mata walaupun niat asal hanya hendak membeli satu atau dua barang. Maka disini seorang suami perlu memahami emosi seorang isteri dan begitu juga sebaliknya

Sebahagian lelaki dari sudut naturenya tidak setia akan tetapi islam dengan keindahan dan disiplinnya telah mensetiakan ramai lelaki. Para suami yang memahami kehendak agama tentu tidak sewenang-wenangnya memperlakukan isterinya sedemikian rupa. Kesimpulannya sang suami beri syurga kepada suami dan isteri beri taat kepada suami.



Ustaz Ridhauddin  Salleh
.

Seminar Baitul Muslim 2.0 (part2)





Slot 3- Fulus oh fulus
Penceramah- Tuan Suzardi Maulan

Apabila berbicara soal perkahwinan tidak dapat tidak, duit merupakan hal yang besar untuk difikirkan. Maklum saja kos perkahwinan mutakhir ini yang mencecah belasan malah puluhan ribu ringgit. Sebelum pergi lebih jauh, Tuan Suzardi Maulan yang juga merupakan Perunding Perancng Kewangan Islam menjelaskan asas pengurusan wang iaitulah kita perlu menganggap wang yang kita miliki adalah dari Allah maka segala keluar masuk duit, dimana ia dibelanjakan akan diaudit oleh Allah. Ini penting supaya tidak berlaku pemborosan dan segala perbelanjaan berlaku dengan baik.

Apabila hendak membuat majlis perkahwinan banyak aspek perlu difikirkan. Setiap individu perlu mengukur baju di badan sendiri supaya tidak belaku over bajet dalam majlis itu. Jangan hanya kerana inginkan majlis yang hebat, tetamu yang ramai, lauk yang sedap menyebabkan kita membuat pinjaman kepada bank (along berlesen) lalu menyebabkan kita menjadi hamba kepada bank apabila terpaksa membayar balik pinjaman jauh melebihi kadar yang kita pinjam.

Menurut Tuan Suzardi kenduri kahwin yang biasa-biasa sekarang mampu mencecah sehingga RM50,000. Maka beliau membentangkan bagaimana supaya majlis perkahwinan dapat dilaksanakan dengan kadar bajet di bawah RM10,000. Antaranya hanya menjemput 100 orang tetamu iaitu orang yang benar-benar rapat dengan kita. Dengan jumlah tetamu yang kecil secara automatik khemah, makanan, kad jemputan dan lain-lain dapat dikurangkan dengan drastik. Senang cerita majlis kecil-kecilan. Tidak perlu buat page di facebook untuk menjemput ramai kawan yang kadang-kadang kita tidak berapa kenal pun kerana ia merugikan dan banyak menyebabkan bajet kita lari.

Elakkan membeli rumah terlalu awal jika tidak mampu. Jika beli pun belilah dengan kadar-kadarnya. Semasa 7 tahun pertama bekerja cuba untuk mengelakkan membeli rumah dan kereta yang mahal kerana kita akan menghadapi hutang yang banyak. Apabila habis semua hutang kereta yang dan rumah, maka dicadangkan suami dan isteri setiap seorang membeli sebuah rumah bukan untuk diduduki tetapi disewakan atau dijual semula. Ini dinamakan pelaburan hartanah. Selepas daripada itu, apabila sudah stabil, maka belilah sebuah rumah idaman kita tak kira besar mana asal anda mampu.

Untuk memudahkan kita, buatlah proposal iaitu plan perkahwinan yang dirancang dengan baik, untuk meyakinkan ibubapa  dan ibubapa mertua kemana hala tuju kita semasa dan selepas berkahwin supaya mereka tidak ragu-ragu dengan keupayaan kita dan menunjukkan betapa kita serius untuk berkahwin dengan anak mereka.

 Untuk maklumat lanjut sila rujuk laman web Tuan Suzardi Maulan. Banyak informasi menarik yang anda tentu mahu tahu.





Tuan Suzardi Maulan



Slot 4- Sebelum Aku Bernikah
Penceramah- Hilal Asyraf

Slot ini lebih kepada pengalaman dan perkongsian Hilal Asyraf sepanjang pertunangan sehinggalah beliau berkahwin  

Masyarakat telah disalahtafsir tentang apa itu cinta oleh media-media arus perdana yang mempromosikan cinta mengikut acuan barat. Ramai orang mungkin menanggap berpelukan, bercumbuan tanpa pernikahan yang sah, maka itulah cinta. Inilah bahana yag dibawa kepada kita, ia merosakkan ramai anak muda dan tidak membawa keuntungan kepada islam. Malang juga bagi sebahagian orang islam yang agak ortodoks apabila berbicara soal cinta maka jawapannya hanya HARAM HARAM HARAM tanpa mengambilkira perbahasan para Ulama' mengenai cinta yang benar walhal islam tidak datang untuk membunuh naluri insan tetapi ia meraikan fitrah insan melalui jalan-jalan yang diajar Nabi saw iaitu pernikahan.

Kesilapan ramai anak muda kini ialah mereka melafazkan cinta tanpa persediaan. Maka sebelum cinta diungkap buatlah persediaan dari sudut ilmu, material dan fizikal melalui cara yang islam sediakan. Cinta yang benar itu membawa ke syurga, jika benar sesorang mencintai kita dia tidak akan mencelaka kan kita dan menjerumuskan kita dalam neraka melalui jalan-jalan yang batil.






Hilal Asyraf


Kesimpulan

Setelah mendapat pencerahan dari para penceramah, secara keseluruhan dapatlah saya katakan bahawa persediaan diri dari sudut ilmu, kewangan dan fizikal amat penting untuk kita ‘berbaitul muslim'. Anda perlu  keluarkan plan perbelanjaan perkahwinan sendiri dan pastikan plan itu akan menjadi sebuah plan yang bijak, cermat dan mesra orang muda. Kalau nak kira pandangan masyarakat, buat grand-grand mereka kata membazir, buat kecil-kecilan mereka kata macam tak ikhlas, sudahnya anda yang nak kahwin bukan mereka. Buatlah macamanapun selagi majlis kita patuh syariat. Saya tidak dapat membentangkan kesemua point penceramah atas kelemahan saya. Jika ada yang tersalah mohon dimaklumkan.