Flashback
6.30 a.m
20/10/2012
‘’Dik, bangun ke
tepi’’,‘’macamana boleh jatuh?’’ Kedengaran suara menerpa. Aku tersedar
daripada pitam. Fikiranku bercelaru saat itu. Aku bingung, cuba memikirkan
bagaimana aku boleh tersungkur di bahu jalan. Kelihatan dua orang lelaki
berumur lingkungan 30 –an berusaha membantuku. Suara itu datangnya dari mereka
berdua. Ada kayu kat sini, mesti kau
langgar kayu ni?’’ Kata salah seorang daripada mereka sambil mengalihkan
kayu itu ke tepi jalan. Ya, itulah
yang menyebabkan aku kemalangan. Serta-merta aku dapat mengingat kembali
detik-detik sebelum kemalangan itu. Kayu yang entah dari mana datangnya itu
tidak berada di tempat sepatutnya ia berada. Ia cukup besar untuk menjatuhkan
sesiapa sahaja yang melanggarnya. Ironinya, akulah mangsanya. Keadaan ketika itu
gelap tanpa lampu jalan, aku tak sempat mengelak dari melanggarnya. Ia berlaku
sekelip mata. Bahu dan tangan aku berasa sakit dan tidak boleh diangkat. Aku
dapat merasakan kecederaan yang serius berlaku di bahagian itu.
Hospital
Aku meminta supaya dihantar ke rumah. Motorku yang pancit
dan terdapat sedikit kerosakan akibat pelanggaran terpaksa ditinggalkan di
situ. Sampai saja di rumah aku maklumkan pada keluarga dan kami bergegas ke
hospital yang terdekat, Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Dalam
perjalanan aku berasa loya dan muntah beberapa kali kesan daripada kemalangan
itu. Mujurlah di hospital tidak ramai pesakit. Aku tidak menunggu terlalu lama.
Maklumlah hospital kerajaan tentu banyak kerenahnya. Aku diperiksa oleh seorang
doktor india, kemudian ke bilik x-ray dan bilik yang aku tidak ingat namanya
tetapi di situ luka-luka di cuci dan jahitan luka juga di buat di sana.
Aku ditahan di wad sementara (temporary ward) kerana
mengalami gejala muntah dan pening kepala. Wad ini digunakan untuk doktor
memerhati keadaan pesakit sekiranya gejala berterusan. Seseorang pesakit hanya
akan berada di wad ini tidak lebih dari 6 jam dan akan dipindahkan ke wad lain
jika didapati keadannya tidak beransur pulih tetapi sekiranya keadaannya bertambah
baik dia akan dibenarkan pulang.
6 jam di situ aku langsung tidak tidur. Hanya duduk di atas
katil yang boleh ditegakkan itu. Wajahku sugul. Fikiranku menerawang memikirkan
kemalangan itu. Aku bermuhasabah. Apakah kerana dosa aku jadi begini, atau
ujian daripada Allah untukku? Aku tunduk penuh penyesalan, Sambil memohon ampun
pada Allah, air mata membasahi pipi. Pelbagai persoalan bermain di benakku. Bagaimanakah
keadaan aku..apakah harapan untuk sembuh seperti sediakala ada??
Sepanjang tempoh itu juga aku muntah beberapa kali. Aku
diawasi oleh seorang jururawat wanita dan malang sekali dia agak garang.
Beberapa orang doktor berbincang mengenai keadaan aku sambil melihat keputusan
x-ray dan aku rasa mereka adalah doktor housemanship (lebih kurang mcm dr.
praktikal). Mereka merujuk kepada seorang doktor senior tetapi masih tidak
dapat kesimpulan yang konkrit. Akhirnya aku dirujuk kepada doktor ortopedik
(pakar tulang) berbangsa cina yang cukup baik. Beliau mengesahkan kecederaanku,
aku menerima berita yang menyedihkan.
Tempoh 6 jam itu cukup lama dan membosankan. Disebelah ku
seorang brader berbangsa india yang juga mengalami kemalangan dan cukup sadis
keadaannya. Matanya bengkak, kepalanya berjahit juga disana terdapat seorang
atuk dan nenek yang sedang menunggu giliran pembedahan sambil ditemani ahli
keluarganya. Keadannya cukup uzur. Lebih teruk dari itu ada yang hancur
tulangnya akibat kemalangan! Sepanjang tempoh itu juga terdengar jururawat yang
merungut kerana tidak puas hati dengan sikap sebahagian pelawat yang tidak
patuh arahan hospital, juga perbualan antara doktor tentang pesakit , dan tidak
kurang juga aksi ‘kontroversi’ daripada seorang doktor yang melakukan tarian
kuda (op op oppa gangnam style!!). Sah lah beliau doktor housemanship. Aku
tersenyum sinis.
Dua jam yang terakhir, muntah ku masih belum reda. Doktor
mengesyaki aku mengalami gegaran otak. Aku mula bimbang akan keadaan itu. Lebih
dari itu, ditahan di wad yang membosankan lebih membimbangkan. Akhirnya, dengan
sedikit ‘trick’ aku dibenarkan pulang ke rumah. Sambil berdoa tiada ‘wayar’
yang putus dalam otak ku. Di rumah gejala muntah berlarutan pada dua hari yang
pertama. Selepas itu alhamdulillah tiada.
Duka dan
sengsara
Sahabat, itu adalah permulaan episod duka ku. Kepulangan ke
rumah ‘disambut’ dengan sebuah kemalangan. Ia hanyalah secebis pengalaman yang
telah mengajarku erti sabar dan redha. Di sebaliknya tersingkap pelbagai hikmah
jika dinilai dengan mata hati. Derita dan sengsara tidak diminta. Ia datang
tanpa diduga memukul kita daripada segenap ruang. Jika tidak pada fizikal, ia
datang mengganggu emosi. Insan yang kelihatan sihat dan sempurna fizikal
kadangkala sengsara jiwanya, demikian insan yang kelihatan sakit fizikalnya
tetapi tenang jiwanya. Ia boleh menerjah sesiapa sahaja tanpa dijemput. Kita
tidak mahu derita dan sengsara, malah kita diajar untuk berlindung daripadanya
seperti doa yang Nabi saw nyatakan :
''Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu dari kegelisahan dan kesedihan, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat bakhil dan penakut dan dari ditimpa beban hutang yang sukar untuk dilangsaikan serta dari kejahatan lelaki yang menzalimi''.
(riwayat al-Bukhari)
![]() |
mencari nikmat dalam derita |
Namun begitu, jika ia tetap datang, kita menerimanya dengan
redha. Alangkah hebatnya hikmah di sebalik penderitaan kerana duka dan
deritalah yang banyak mengembalikan insan kepada Tuhannya, menjadikan jiwanya
halus, taubatnya tulus, doanya khusyuk. Insan kadang-kadang tidak dapat
ditundukkan keegoannya, tidak boleh menerima nasihat rakan-rakannya, namun apabila duka dan derita
menerpa akhirnya dia tunduk kepada Tuhannya sehingga kita pun pelik dia yang
dahulunya jahat kini lebih baik dari kita.
Allah Maha
Pengampun
Sahabatku, urusan dunia yang banyak ini sering melalaikan
kita daripada Allah. Sepanjang hidup kita, tentu banyak kesalahan dan kesilapan
kita pada Allah atau sesama manusia, itulah kita, manusia. Kata Nabi saw:
‘’Semua anak Adam itu melakukan kesalahan dan sebaik-baik pelaku
kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat’’
(Riwayat
Ahmad,al-Tirmizi dan ibn Majah/ dihasankan oleh al-Albani)
Jika diberi peluang tentu kita ingin kembali ke masa lalu
untuk membetulkan kesilapan kita. Namun ketetapan Allah tidak begitu. Kita
tidak mungkin kembali ke masa lalu. Kita juga tidak dapat memastikan esok hari
apakah ia masih ada untuk kita. Yang kita ada hanyalah SEKARANG. SEKARANG lah
masa untuk beramal soleh, SEKARANG lah masa untuk berbakti pada ibu ayah dan
SEKARANG lah masa untuk bertaubat memohon ampun pada Allah dengan jantung hati
yang ikhlas dan tunduk. Bahkan jika taubat dan istighfar dengan jujur, luhur
dan khusyuk kepada Allah, ia akan menjadi penawar dan kebahagiaan hidup. Firman
Allah:
‘’Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian
bertaubat kepada-Nya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di
dunia)''
(Surah Hud : 3)
Sahabatku, ada antara kita yang merasakan diri terlalu hina
sehingga menganggap dosanya seolah-olah tidak diampunkan. Sebenarnya, Allah
tidak suruh kita mendedahkan dosa dan aib kita pada orang lain. Tidak perlu
bercerita dan mengadu dosa pada rakan-rakan lain. Akan tetapi jika ingin
meminta nasihat maka itu sangat digalakkan. Allah suruh kita beristighfar dan
memohon ampun kepada Nya. Walaupun kita pergi kepada kawan-kawan lalu dia kata
pada kita,, ‘’kau jahat, samseng, kaki
dosa, kaki perempuan, bunuh orang, kaki judi, tak mungkin dosa kau terampun!’’
Namun Allah tidak begitu. Firman Allah :
‘’Katakanlah : Wahai hamba-hamba yang melampaui batas terhadap diri
mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat
Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah
jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani’’.
(Surah al-Zumar : 53)
Jangan berputus asa, dosa-dosa yang besar seperti itu pun
diampunkan apatah lagi insan yang melakukan dosa kecil. Pasti diampunkan
asalkan kamu betul-betul ikhlas dan tidak berniat untuk bermain-main.
Muhasabah
Sahabat, aku yang daif dan hina ini mencoretkan sedikit
pengalaman ini bukan untuk menagih simpati. Akan tetapi, ambillah manfaat dari
sedikit pengalaman aku. Aku juga tidak berniat berkongsi episod derita dalam
hidupku. Kita tidak sempurna. Aku ingin mengajak kita bermuhasabah, betulkan
apa yang silap, memohon ampun pada AllAH Azza Wajalla sebelum kita ‘ditegur’
oleh Allah. Yang belum menutup aurat, tutuplah, yang tidak solat, solatlah, yang
selalu menyakitkan hati kawan, ubahlah, yang sombong, tunduklah. Jangan tunggu
jatuh tersungkur baru hendak kembali insaf pada Allah. Jangan buat sesuatu hari
ini yang menyebabkan kita menyesal kemudian hari.
Sebulan selepas kemalangan aku pergi kembali ke tempat
kejadian. Niatnya ingin mengambil kayu ‘bertuah’ itu. Sayangnya sudah tiada.
Mungkin sudah diambil orang atau dibuang. Aku mengusap-usap helmet yang telah
menyelamatkan muka ku. Ada kesan-kesan calar dan sedikit rosak. Mujurlah ketika
itu kau ada di kepala ku. Lebih dari itu Allah yang telah mengilhamkan ku untuk
memakai kau wahai helmet. Kemalangan ini menyebabkan dua tulangku patah, terima
beberapa jahitan di kaki selain luka-luka kecil dan kini masih dalam proses
penyembuhan. Terima kasih kepada semua doktor dan akak jururawat yang sedikit
garang yang telah merawatku. Namun aku bersyukur masih diberi peluang untuk
terus hidup, Aku teringat sebuah hadis Nabi saw :
Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati,
sedih, disakiti orang dan derita sehingga sebatang duri menikamnya kecuali
Allah memadamkan dengan itu semua dosanya
(riwayat al-Bukhari)
**Tulisan dan Dalil, hadis diinspirasikan daripada buku
Penawar Duka Pengubat Sengsara karangan Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul
Abidin dan diolah semula. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah
syuhada’.
Sekian,
12.44 a.m
19/11/2012
Semoga awk cepat sihat.. :)
ReplyDeleteInsyaAllah, amin
ReplyDeleteNice blog :)
ReplyDeletesalam kenal sobat :)
bagi - bagi motivasi
semoga bisa jadi semangat
Senyuman adalah sedekah yang indah, karena dengan sedekah senyuman, manusia takkan pernah merasa berhutang apa-apa dan tak kan membuat orang lain merasa terhina
ditunggu kunjungan baliknya yaa :) terima kasih ....