Pages

Sunday 18 November 2012

kenangan pahit yang manis


                                               

                                             
Flashback

6.30 a.m
20/10/2012

‘’Dik, bangun ke tepi’’,‘’macamana boleh jatuh?’’ Kedengaran suara menerpa. Aku tersedar daripada pitam. Fikiranku bercelaru saat itu. Aku bingung, cuba memikirkan bagaimana aku boleh tersungkur di bahu jalan. Kelihatan dua orang lelaki berumur lingkungan 30 –an berusaha membantuku. Suara itu datangnya dari mereka berdua. Ada kayu kat sini, mesti kau langgar kayu ni?’’ Kata salah seorang daripada mereka sambil mengalihkan kayu itu ke tepi jalan. Ya, itulah yang menyebabkan aku kemalangan. Serta-merta aku dapat mengingat kembali detik-detik sebelum kemalangan itu. Kayu yang entah dari mana datangnya itu tidak berada di tempat sepatutnya ia berada. Ia cukup besar untuk menjatuhkan sesiapa sahaja yang melanggarnya. Ironinya, akulah mangsanya. Keadaan ketika itu gelap tanpa lampu jalan, aku tak sempat mengelak dari melanggarnya. Ia berlaku sekelip mata. Bahu dan tangan aku berasa sakit dan tidak boleh diangkat. Aku dapat merasakan kecederaan yang serius berlaku di bahagian itu.


Hospital

Aku meminta supaya dihantar ke rumah. Motorku yang pancit dan terdapat sedikit kerosakan akibat pelanggaran terpaksa ditinggalkan di situ. Sampai saja di rumah aku maklumkan pada keluarga dan kami bergegas ke hospital yang terdekat, Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Dalam perjalanan aku berasa loya dan muntah beberapa kali kesan daripada kemalangan itu. Mujurlah di hospital tidak ramai pesakit. Aku tidak menunggu terlalu lama. Maklumlah hospital kerajaan tentu banyak kerenahnya. Aku diperiksa oleh seorang doktor india, kemudian ke bilik x-ray dan bilik yang aku tidak ingat namanya tetapi di situ luka-luka di cuci dan jahitan luka juga di buat di sana.


Hospital utama di Klang


Aku ditahan di wad sementara (temporary ward) kerana mengalami gejala muntah dan pening kepala. Wad ini digunakan untuk doktor memerhati keadaan pesakit sekiranya gejala berterusan. Seseorang pesakit hanya akan berada di wad ini tidak lebih dari 6 jam dan akan dipindahkan ke wad lain jika didapati keadannya tidak beransur pulih tetapi sekiranya keadaannya bertambah baik dia akan dibenarkan pulang.

6 jam di situ aku langsung tidak tidur. Hanya duduk di atas katil yang boleh ditegakkan itu. Wajahku sugul. Fikiranku menerawang memikirkan kemalangan itu. Aku bermuhasabah. Apakah kerana dosa aku jadi begini, atau ujian daripada Allah untukku? Aku tunduk penuh penyesalan, Sambil memohon ampun pada Allah, air mata membasahi pipi. Pelbagai persoalan bermain di benakku. Bagaimanakah keadaan aku..apakah harapan untuk sembuh seperti sediakala ada??

Sepanjang tempoh itu juga aku muntah beberapa kali. Aku diawasi oleh seorang jururawat wanita dan malang sekali dia agak garang. Beberapa orang doktor berbincang mengenai keadaan aku sambil melihat keputusan x-ray  dan aku rasa mereka adalah doktor housemanship (lebih kurang mcm dr. praktikal). Mereka merujuk kepada seorang doktor senior tetapi masih tidak dapat kesimpulan yang konkrit. Akhirnya aku dirujuk kepada doktor ortopedik (pakar tulang) berbangsa cina yang cukup baik. Beliau mengesahkan kecederaanku, aku menerima berita yang menyedihkan.

Tempoh 6 jam itu cukup lama dan membosankan. Disebelah ku seorang brader berbangsa india yang juga mengalami kemalangan dan cukup sadis keadaannya. Matanya bengkak, kepalanya berjahit juga disana terdapat seorang atuk dan nenek yang sedang menunggu giliran pembedahan sambil ditemani ahli keluarganya. Keadannya cukup uzur. Lebih teruk dari itu ada yang hancur tulangnya akibat kemalangan! Sepanjang tempoh itu juga terdengar jururawat yang merungut kerana tidak puas hati dengan sikap sebahagian pelawat yang tidak patuh arahan hospital, juga perbualan antara doktor tentang pesakit , dan tidak kurang juga aksi ‘kontroversi’ daripada seorang doktor yang melakukan tarian kuda (op op oppa gangnam style!!). Sah lah beliau doktor housemanship. Aku tersenyum sinis.


bayangan aksi doktor gangnam


Dua jam yang terakhir, muntah ku masih belum reda. Doktor mengesyaki aku mengalami gegaran otak. Aku mula bimbang akan keadaan itu. Lebih dari itu, ditahan di wad yang membosankan lebih membimbangkan. Akhirnya, dengan sedikit ‘trick’ aku dibenarkan pulang ke rumah. Sambil berdoa tiada ‘wayar’ yang putus dalam otak ku. Di rumah gejala muntah berlarutan pada dua hari yang pertama. Selepas itu alhamdulillah tiada.


Duka dan sengsara

Sahabat, itu adalah permulaan episod duka ku. Kepulangan ke rumah ‘disambut’ dengan sebuah kemalangan. Ia hanyalah secebis pengalaman yang telah mengajarku erti sabar dan redha. Di sebaliknya tersingkap pelbagai hikmah jika dinilai dengan mata hati. Derita dan sengsara tidak diminta. Ia datang tanpa diduga memukul kita daripada segenap ruang. Jika tidak pada fizikal, ia datang mengganggu emosi. Insan yang kelihatan sihat dan sempurna fizikal kadangkala sengsara jiwanya, demikian insan yang kelihatan sakit fizikalnya tetapi tenang jiwanya. Ia boleh menerjah sesiapa sahaja tanpa dijemput. Kita tidak mahu derita dan sengsara, malah kita diajar untuk berlindung daripadanya seperti doa yang Nabi saw nyatakan :

''Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu dari kegelisahan dan kesedihan, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat bakhil dan penakut dan dari ditimpa beban hutang yang sukar untuk dilangsaikan serta dari kejahatan lelaki yang menzalimi''.

(riwayat al-Bukhari)


mencari nikmat dalam derita


Namun begitu, jika ia tetap datang, kita menerimanya dengan redha. Alangkah hebatnya hikmah di sebalik penderitaan kerana duka dan deritalah yang banyak mengembalikan insan kepada Tuhannya, menjadikan jiwanya halus, taubatnya tulus, doanya khusyuk. Insan kadang-kadang tidak dapat ditundukkan keegoannya, tidak boleh menerima nasihat  rakan-rakannya, namun apabila duka dan derita menerpa akhirnya dia tunduk kepada Tuhannya sehingga kita pun pelik dia yang dahulunya jahat kini lebih baik dari kita.


Allah Maha Pengampun

Sahabatku, urusan dunia yang banyak ini sering melalaikan kita daripada Allah. Sepanjang hidup kita, tentu banyak kesalahan dan kesilapan kita pada Allah atau sesama manusia, itulah kita, manusia. Kata Nabi saw:

‘’Semua anak Adam itu melakukan kesalahan dan sebaik-baik pelaku kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat’’

(Riwayat Ahmad,al-Tirmizi dan ibn Majah/ dihasankan oleh al-Albani)

Jika diberi peluang tentu kita ingin kembali ke masa lalu untuk membetulkan kesilapan kita. Namun ketetapan Allah tidak begitu. Kita tidak mungkin kembali ke masa lalu. Kita juga tidak dapat memastikan esok hari apakah ia masih ada untuk kita. Yang kita ada hanyalah SEKARANG. SEKARANG lah masa untuk beramal soleh, SEKARANG lah masa untuk berbakti pada ibu ayah dan SEKARANG lah masa untuk bertaubat memohon ampun pada Allah dengan jantung hati yang ikhlas dan tunduk. Bahkan jika taubat dan istighfar dengan jujur, luhur dan khusyuk kepada Allah, ia akan menjadi penawar dan kebahagiaan hidup. Firman Allah:

‘’Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepada-Nya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)''

(Surah Hud : 3)

Sahabatku, ada antara kita yang merasakan diri terlalu hina sehingga menganggap dosanya seolah-olah tidak diampunkan. Sebenarnya, Allah tidak suruh kita mendedahkan dosa dan aib kita pada orang lain. Tidak perlu bercerita dan mengadu dosa pada rakan-rakan lain. Akan tetapi jika ingin meminta nasihat maka itu sangat digalakkan. Allah suruh kita beristighfar dan memohon ampun kepada Nya. Walaupun kita pergi kepada kawan-kawan lalu dia kata pada kita,, ‘’kau jahat, samseng, kaki dosa, kaki perempuan, bunuh orang, kaki judi, tak mungkin dosa kau terampun!’’ Namun Allah tidak begitu. Firman Allah :

‘’Katakanlah : Wahai hamba-hamba yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani’’.

(Surah al-Zumar : 53)





Jangan berputus asa, dosa-dosa yang besar seperti itu pun diampunkan apatah lagi insan yang melakukan dosa kecil. Pasti diampunkan asalkan kamu betul-betul ikhlas dan tidak berniat untuk bermain-main.


Muhasabah

Sahabat, aku yang daif dan hina ini mencoretkan sedikit pengalaman ini bukan untuk menagih simpati. Akan tetapi, ambillah manfaat dari sedikit pengalaman aku. Aku juga tidak berniat berkongsi episod derita dalam hidupku. Kita tidak sempurna. Aku ingin mengajak kita bermuhasabah, betulkan apa yang silap, memohon ampun pada AllAH Azza Wajalla sebelum kita ‘ditegur’ oleh Allah. Yang belum menutup aurat, tutuplah, yang tidak solat, solatlah, yang selalu menyakitkan hati kawan, ubahlah, yang sombong, tunduklah. Jangan tunggu jatuh tersungkur baru hendak kembali insaf pada Allah. Jangan buat sesuatu hari ini yang menyebabkan kita menyesal kemudian hari.

Sebulan selepas kemalangan aku pergi kembali ke tempat kejadian. Niatnya ingin mengambil kayu ‘bertuah’ itu. Sayangnya sudah tiada. Mungkin sudah diambil orang atau dibuang. Aku mengusap-usap helmet yang telah menyelamatkan muka ku. Ada kesan-kesan calar dan sedikit rosak. Mujurlah ketika itu kau ada di kepala ku. Lebih dari itu Allah yang telah mengilhamkan ku untuk memakai kau wahai helmet. Kemalangan ini menyebabkan dua tulangku patah, terima beberapa jahitan di kaki selain luka-luka kecil dan kini masih dalam proses penyembuhan. Terima kasih kepada semua doktor dan akak jururawat yang sedikit garang yang telah merawatku. Namun aku bersyukur masih diberi peluang untuk terus hidup, Aku teringat sebuah hadis Nabi saw :

Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang dan derita sehingga sebatang duri menikamnya kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosanya

(riwayat al-Bukhari)







**Tulisan dan Dalil, hadis diinspirasikan daripada buku Penawar Duka Pengubat Sengsara karangan Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan diolah semula. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah syuhada’.

Sekian,

12.44 a.m
19/11/2012


Saturday 15 September 2012

Tahniah Sahabat-Sahabatku!




Minggu ni sekali lagi aku kebosanan di Kolej. Classmate ramai yang balik kampung walaupun cuti hanya 3 hari. Housemate pun sama 2 x 5. Aku decide nak stay kat Pilah ni sebab kat rumah memang tidak boleh dijamin kualiti masa. Tv, astro, PS2, streamyx menanti di rumah. Kadang-kadang boleh jadi sebab kita lalai. Apapun, semua tu bergantung pada diri sendiri sebenarnya. Sampai satu tahap kita inginkan jadual yang sibuk dan urusan yang banyak bila masa free kita diisi dengan perkara yang lagha lagi tidak bermanfaat. Demikian juga manusia yang selalu nak menghargai sesuatu jika ia sudah tiada namun lupa untuk menikmatinya semasa ia masih ada.




Mengejar Cita-Cita

Malam ni aku terima satu lagi berita baik dari group Kelas 3 Taat 2007 (facebook). Seorang demi seorang kawan lama dapat tawaran belajar ke oversea. Eropah, timur tengah, china, India semua sudah ditawan. Mereka ini pergi dengan misi untuk mengejar cita-cita dalam bidang masing-masing. Terbaru, seorang rakan perempuan (form1-form 3) dapat tawaran ke Manchester. Bertambah lebarlah senyuman ustazah Rafizah, guru kelas kami lepas ni melihat bekas anak-anak muridnya berjaya  =) . Tapi,  masih belum berkesempatan tanya course apa kerana penerbangannya malam ni. Kadang-kadang aku sendiri terkejut dengan prestasi semasa kawan-kawan lama ni. Dulu kat sekolah tidak menonjol dari segi pelajaran tapi sekarang tengoklah hasilnya. Segala penat lelah mereka terbalas.

Aku tahu bukan mudah untuk konsisten dalam pelajaran. Kadang di atas kadang di bawah. Ini juga menjadi bukti usaha melebihi segala-galanya. Dulu selalu orang sebut bila ayahnya doktor, anak mesti pandai juga. Bila mak lecturer anak pun mesti mewarisi kehebatan ibunya. ‘’mestilah dia pandai tengoklah bapak dia kerja apa,, baka baik tu’’. Tidak semestinya! Gaya fikir semacam ini boleh membunuh keyakinan kita pada kemampuan dan kebolehan diri sendiri. Adakah mungkin hanya goyang kaki boleh skor highest mark? Atau kerap kali tidur, main game, tengok movie (korea, k-pop dan lain-lain pop) yang berlebihan masih lagi boleh cemerlang bila setiap kali test, quiz dll? Bahkan orang yang dikatakan baka baik itu sendiri selalu usahanya melebihi kita bila tiba exam. 




 Pelik

Bertambah hairanlah aku dengan satu golongan yang cemerlang atau skor dalam mana-mana test bila ditanya rahsianya maka jawapan yang diberikan mereka suam-suam kuku je. Bila kita tanya ‘’macamana kau skor, boleh bagi tips tak’’? Maka sambil tersenyum kambing dia menjawab ‘‘’rahsianya ialah banyak tido’’,  atau bila ditanya rahsianya dapat 9A dalam SPM maka dijawabnya ‘’Nasib je tu, aku dulu banyak ponteng kelas, main-main, selalu kutuk cikgu hahaha’., Ada diantaranya bila kita siasat rupa-rupanya soalan pastyears sudah dijawab sebelum test sebenar berlaku. Itulah tipsnya!  Sudah la tak beri jawapan yang jujur, dosa-dosanya juga disebut dengan rasa bangga. Apakah mungkin perkara semacam ini boleh berlaku? Main-main, banyak tidur tiba-tiba skor dengan cemerlang. Sepanjang pengalaman aku perkara yang semacam ini (pandai semulajadi) hanya aku temui masa kat PASUM dulu. Itupun aku tahu perwatakannya yang warak, merendah diri, faham agama. Mungkin dengan sebab itu Allah bagi banyak kelebihan padanya. Tapi ini kes rare, jarang-jarang berlaku. Namun adapun species yang ‘tidak jujur’ yang aku sebut di atas tidak termasuk dalam kes budak PASUM tu.

 Sepatutnya bila ditanya berilah jawapan yang baik. Boleh dimanfaatkan oleh yang bertanya. Jawablah begini ‘’fokus dalam kelas, buat tutorial, selalu bertanya pada lecturer, cukup tidur’’ dan lain-lain lagi tips yang korang ada. Seandainya benar seperi yang dikatakan iaitu selalu mengutuk cikgu, ponteng kelas dan lain-lain kejahatan, maka kita bimbang itu adalah istidraj. Kejayaan yang Allah beri itu tidak diberkati dan akan menjauhkan empunya diri daripada Allah! Adapun tips-tips diatas ini juga menjadi tips orang lain yang namanya Ah Chong, Siva, Raja. Itu lah sunnatullah. Perkara tabii di alam ini yang sudah Allah tetapkan. Dengan sifat Ar-Rahman-Nya, sesiapa berusaha dia akan dapat tidak kira bangsa apa, keturunan atau agama. Maka menambah kebijaksanaan kita sebagai umat islam tambahlah jawapan anda iaitulah ‘’banyakkan berdoa, jaga solat,tawakkal, jaga hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia.. dan sebagainya. Sifat Ar-Rahim Allah tidak diberikan kepada bukan islam. Inilah kelebihan kita yang tidak ada pada Ah chong, Siva atau Raja. Kita ada Allah, tempat bergantung segala sesuatu.




Harapan

Dalam kegembiraan rakan-rakanku yang sudah separuh jalan dari cita-cita, aku sedikit berdukacita. Aku masih di sini. Namun, bukanlah jaminan kejayaan apabila mempunyai sijil-sijil dan kelulusan yang hebat-hebat belaka. Aku yakin dengan janji Allah. Sesiapa yang beriman dan beramal soleh maka baginya kehidupan yang baik di dunia dan akhirat. Dunia bukanlah segala-galanya. Insan, apabila memandang dunia dari dimensi akhirat tentu akan menemukan ketenangan. Apa sahaja yang kita lakukan jika disandarkan pada Allah Azza Wa Jalla pasti menemukan kejayaan. Ridha Allah kita kejar, itulah kejayaan yang hakiki. Kalian sudah memberi inspirasi pada aku untuk kembali bangkit berjuang di arena ini. Walaupun begitu, aku punya cara tersendiri. Cemerlang dalam pelajaran semata-mata tidak memberi sebarang makna jika kita tidak mempunyai soft skills (kepimpinan, public speaking dll). Ini penting untuk survive di alam pekerjaan kelak. Sedikit sebanyak aku memahami sepak terajang alam pekerjaan. Tanpa kekuatan mental apalah kita. 4 flat semata-mata bukanlah apa-apa...

Wassalam.

1.10 am
16/09/2012